DISEMBER 2022

GPS Sokong Kerajaan Perpaduan


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) GPS yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini.

Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu menjelaskan, pada mesyuarat lebih satu jam itu, GPS turut menandatangani perjanjian menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan dan pucuk kepimpinan Anwar Ibrahim.

Katanya, mesyuarat itu turut memperhalusi pandangan GPS termasuk perjanjian tersebut dan usul percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Semua ketua-ketua parti komponen dalam GPS, menandatangani perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Anwar Ibrahim,” katanya.

Alexander yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sokongan itu perlu agar kepentingan negeri Sarawak terjamin.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Dato Sri Tiong King Sing. PBB, SUPP, PRS dan PDP adalah empat parti tempatan yang bergabung dalam GPS. GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof dipetik sebagai berkata, majlis menandatangani perjanjian antara ketua-ketua parti bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan diadakan esok.

Katanya, perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Sumber dari : Jiwa Bakti